4 Mei 2012
"PKR akan terus membawa berita gembira dari Bersih 3.0 ke seluruh negara mengenai kebangkitan rakyat. Tarikh 28 April 2012 akan kita nobatkan sebagai Merdeka Rakyat," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, majlis itu akan disempurnakan sendiri oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini di Padang Kampung Baru, Batu Caves, Gombak jam 9 malam. "Ia akan turut disertai pimpinan terkanan PKR dan jemputan kepada pimpinan Pas dan DAP," katanya lagi.
Rafizi berkata, Anwar dijangka akan membuat pengumuman penting mengenai kedudukan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar pada majlis pelancaran Merdeka Rakyat.
Rafizi juga berkata, sokongan ratusan ribu rakyat dari seluruh pelosok negara yang turun dengan satu suara menuntut proses demokrasi yang adil adalah catatan sejarah negara.
"Bersih 3.0 yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang seharusnya dirayakan semangat dan prinsipnya.
"Malangnya, ada pihak yang cuba menutup isu sebenar yang dibawa Bersih 3.0. Suara rakyat yang mewakili jutaan rakyat mahu ditutup dengan cerita picisan yang memfitnah rakyat," katanya.
Rafizi juga berkata, rakyat yang menjadi mangsa akibat kekerasan dan keganasan polis diserang bertalu-talu di media kawalan Umno-Barisan Nasional sedang pemangsa yang ganas dilindungi.
Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan Sabtu lalu untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil.
"Selain fokus kepada kejayaan rakyat menuntut proses demokrasi yang disuarakan melalui Bersih 3.0, PKR juga akan menayangkan dengan terperinci kejadian keganasan yang dilakukan pihak berkuasa.
"Peluang ini juga akan digunakan untuk membongkarkan perkembangan perbicaraan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment