Arul Kumar menunjukkan sampel air yang diterimanya daripada penduduk sejak sebulan lalu.
 
NILAI – ‘Kami sudah tidak sanggup lagi." Itu keluhan penduduk sekitar kawasan Nilai dan Pajam, di sini yang mendakwa tertekan dengan kualiti sumber bekalan air diterima mereka, sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Bekalan air di kawasan mereka bukan saja keruh, malah lebih merunsingkan apabila ia berkeladak yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang.

Akibat masalah itu, rutin harian penduduk tidak lagi lancar seperti biasa kerana ada yang terpaksa berbelanja lebih membeli air mineral di kedai bagi kegunaan memasak dan minum.

Penduduk, Hisham Hassan, 43, yang tinggal di Rumah Pangsa Rakyat Pajam, di sini berkata, masalah itu mula membelenggu mereka sejak dua bulan lalu.

“Biasanya pada awal pagi, kita boleh lihat dengan jelas warna air yang keruh dan berkeladak disebabkan semalaman tidak membuka air paip.

“Sebab itu, saya hanya menggunakan air paip untuk tujuan mandi sahaja. Jika mahu memasak dan minum saya, akan beli air mineral sebab saya sendiri tidak yakin dengan bekalan air disalurkan,” katanya.

Hisham yang juga seorang pengawal keselamatan berkata, dia bimbang sekiranya masalah itu berterusan dan berpendapat seharusnya penduduk diberi perkhidmatan air bersih kerana ia bukan percuma.

“Tiap-tiap bulan kita bayar bil air dan kita harapkan air bersih dapat disediakan. Tapi sekarang, kita bukan sahaja bayar bil tapi perlu juga keluarkan duit lagi untuk beli air mineral kegunaan seharian,” katanya.


Baju sekolah berubah kuning

Suri rumah, Ropiazah Abd Aziz, 37, berkata, pada awalnya dia sangkakan masalah air keruh tersebut bersifat sementara kesan dari projek pembinaan longkang berhampiran kawasan perumahannya.

Tapi, hari demi hari ia dilihat tiada berkesudahan, sedikit sebanyak menjejaskan kualiti kehidupannya sekeluarga.

“Kalau baju sekolah anak-anak dibiarkan direndam dengan air paip semalaman, baju berwarna putih akan bertukar kekuningan.

“Malah, jika kita tadah dan simpan air semalaman, keesokannya kita dapat lihat air itu berkeladak. Biasanya waktu awal pagi air agak kuning dan perlu tunggu lama untuk berubah ke warna asal,” katanya.

Keluhan itu turut dikongsi seorang pekerja kilang, Mohd Nasir Yusof, 45, yang berharap masalah terbabit dapat diambil perhatian pihak berkenaan berikutan ia melibatkan soal kehidupan rakyat.

“Jika di rumah tidak disediakan penapis air, saya tidak tahulah macam mana mahu gunakan air paip.

“Saya khuatir kualiti makanan disediakan dengan menggunakan air tidak bersih boleh menjejaskan kesihatan kami," katanya.

Penduduk di Taman Cempaka, Nilai, K. Senthivelu, 43, pula berkata, walaupun mempunyai penapis air di rumah, namun setiap hari dia perlu mencuci penapis berkenaan kesan air yang keruh dan berkeladak.

“Dulu saya tidak perlu pakai penapis air, tapi bila air macam sekarang ini siapa yang tahan sebab susah untuk isteri saya memasak dan membasuh pakaian.

“Biasanya, selepas beberapa minggu atau sebulan, baru saya akan cuci penapis air. Tapi disebabkan air yang kotor, saya kena bersihkannya selalu,” katanya.


Simpan sampel sebagai bukti

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, J. Arul Kumar berkata, beliau menerima lebih daripada lima sampel air yang kurang memuaskan daripada penduduk di sekitar kawasan Nilai dan Pajam sejak sebulan lalu.

Menurutnya, sampel berkenaan disimpan sebagai bukti bahawa kualiti air disalurkan di kawasan berkenaan sememangnya kurang memuaskan.

“Berdasarkan pelbagai sampel air yang saya terima daripada penduduk, saya dapati ia memang keruh dan berkeladak. Mereka bukan cakap kosong kerana semuanya telah terbukti dengan sampel air yang saya terima,” katanya di sini semalam.

Arul berkata, beliau difahamkan, masalah tersebut lebih ketara pada waktu pagi dan ini menyukarkan penduduk memulakan urusan seharian mereka.

“Penduduk berhak mendapat kemudahan air yang bersih kerana ia mereka bayar bil. Lagipun air digunakan setiap hari dan ia amat penting untuk setiap orang.

“Saya telah pun memaklumkan perkara itu kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) untuk diambil tindakan dan berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

ABU: Ingatkan hanya di Kelantan dan Selangor.