Jenazah Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah tiba di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.
Baginda akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas Asar esok. - Foto Bernama
KUALA KANGSAR - Orang awam dijadual memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak malam ini, kumpulan kedua yang akan memberi penghormatan terakhir pada pukul 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari adalah orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing.
Istiadat Penghormatan Terakhir kemudiannya akan
disusuli oleh Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan pada 1.30 petang hingga 2.15 petang.
Istiadat pelantikan dan pengisytiharan raja baharu pula akan disempurnakan
pada 2.30 petang di balai sama sebelum diteruskan dengan istiadat
pemakaman di Makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah di
sini, pada 3 petang.
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari tadi dan
jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas
solat Asar esok.
Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan
pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana
Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir. - Bernama
Jenazah Almarhum Sultan Perak Tiba Di Istana Iskandariah
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30
tengahari tadi di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur hari
ini. Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak
ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana
Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir. - Foto Bernama
KUALA KANGSAR: Jenazah Sultan Perak Sultan Azlan Shah tiba di Istana Iskandariah, di sini pada pukul 8.15 malam Rabu.
Jenazah Almarhum yang dibawa oleh kenderaan Kementerian Pertahanan dari Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur disambut Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim.
Turut mengiringi adalah kenderaan membawa Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun serta kerabat diraja yang lain. Raja DiHilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak Raja Normahani Shahar Shah tiba di istana pada pukul 9.15 malam.
Seramai 30 pelajar Ma'ahad Tahfiz Masjid Negeri hadir untuk menyempurnakan majlis tahlil dan bacaan Yasin sepanjang malam ini yang berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah.
Tinjauan Bernama mendapati kenderaan silih berganti keluar masuk istana yang membawa kerabat diraja, orang-orang kenamaan, pegawai-pegawai kerajaan dan pasukan keselamatan.
Laluan utama yang menuju ke Istana Iskandariah di Bukit Chandan, di sini ditutup berhampiran menara jam Kuala Kangsar bagi melancarkan lalu lintas.
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari ini dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
Sultan Azlan Shah raja berjiwa rakyat
IPOH - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan seorang
raja berilmu dan berjiwa rakyat selain dikenali sebagai tokoh perundangan yang
dikagumi, kata Ketua Penerangan Umno Perak Datuk Khusairi Abdul Talib.
Beliau berkata, kemangkatan Sultan Azlan Shah amat dirasai
oleh rakyat jelata kerana baginda merupakan seorang raja yang mengambil berat
tentang permasalahan mereka.
"Semasa hayatnya, setiap tahun baginda mengadakan
sambutan majlis berbuka puasa bersama rakyat pada Ramadan. Cuma, sejak tahun
lepas baginda tidak dapat meneruskan rutin tahunan itu atas faktor kesihatan
yang tidak mengizinkan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 petang tadi dan akan
dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar esok.
Almarhum berusia 86
tahun.
Almarhum meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun,
seorang putera iaitu Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri
Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat
pada 30 Mac 2012.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan,
Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Saarani Mohammad
berkata sepanjang hayatnya, Almarhum telah menunjukkan komitmen yang tinggi
terhadap kerajaan Perak.
"Sultan merupakan tempat kita bernaung dan baginda
banyak memberi nasihat kepada kerajaaan negeri. Baginda selalu membimbing dan
menegur kepada kerajaan negeri sekiranya perlu," katanya.
Ketua Wanita Umno Perak Datuk Rusnah Kassim berkata,
Almarhum seorang tokoh perundangan yang sangat disegani berdasarkan kepada
penghakiman baginda yang amat bernas.
"Baginda seorang yang penting dalam bidang undang-undang...
baginda bukan sahaja seorang sultan yang begitu pengasih kepada rakyat bahkan
seorang sultan yang berilmu," katanya.
Bekas Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak Mohd Zamri
Mustajab pula berkata Almarhum sangat dekat di hati rakyat terutama dalam
kalangan masyarakat Orang Asli sehingga menganggap masyarakat itu adalah 'anak
emas'.
"Sepanjang saya berkhidmat di bawah jabatan itu selama
10 tahun sehingga bertukar pada September lepas, jabatan itu adalah yang paling
hampir dengan baginda.
"Kenangan semasa baginda merasmikan Kompleks Orang Asli
di Sungai Siput empat tahun lepas tidak mungkin saya lupakan," katanya.
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming turut merafak takziah
kepada keluarga diraja Perak di atas kemangkatan baginda.
"Pemergian Tuanku merupakan satu kehilangan yang besar
kepada Perak amnya dan rakyat jelata seluruh negara kerana baginda juga pernah
menjadi Yang di-Pertuan Agong.
"Jasa Tuanku dikenang di atas kebijaksanaan baginda
khususnya ketika menjadi Ketua Hakim Negara...," katanya.
Sementara itu, Anggota Dewan Negara Perak Datuk Seri Annuar
Zaini berkata Sultan Azlan Shah merupakan seorang yang tegas dan amat teliti.
"Baginda seorang sultan yang mempunyai intelektual yang
cukup tinggi dan terhormat. Baginda juga seorang yang cukup teliti dan
berhati-hati dalam berkata-kata," katanya.
Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) Lam Pau Yin pula
tidak dapat melupakan pengalamannya membuat liputan acara-acara Sultan Azlan
Shah termasuk upacara perkahwinan anakanda-anakanda baginda. - Bernama
Pakatan tangguh aktiviti kempen di Teluk Intan
TELUK INTAN: Pakatan Rakyat menangguhkan semua aktiviti
kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada malam ini bagi menghormati
kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Teluk Intan, Salahuddin Ayub
sebaliknya berkata, jentera PAS digalakkan mengadakan majlis tahlil di surau
dan masjid.
"PAS mengucapkan takziah dan berasa dukacita atas
kemangkatan Sultan Perak dan sehubungan dengan itu, segala aktiviti malam ini
ditangguhkan dan disambung semula esok.
"Ahli PAS digalakkan menggantikan segala aktiviti
dengan majlis tahlil," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Pengarah Kempen DAP PRK Teluk Intan, Wong Kah Who turut
merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan kerabat Diraja Perak di atas
kemangkatan Sultan Azlan.
“Patik sekalian juga ingin mengumumkan segala aktiviti
kempen DAP PRK Teluk Intan malam ini akan ditangguhkan sebagai tanda
penghormatan atas kemangkatan baginda,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, calon DAP yang mewakil Pakatan Rakyat pada
PRK Teluk Intan, Dyana Mohd Daud dalam satu kenyataan juga merakamkan ucapan
takziah kepada keluarga dan kerabat Diraja Perak di atas kemangkatan Sultan
Azlan.
"Patik sebagai anak negeri Perak Darul Ridzuan
merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan kerabat Diraja Perak di atas
kemangkatan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf
Izzuddin Shah Ghafarullahulah pada hari Rabu 28 Mei 2014.
"Patik dengan dukungan pimpinan dan ahli DAP serta
rakan-rakan Pakatan Rakyat berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh
Almarhum Paduka Seri. Semoga Allah SWT menempatkan baginda di kalangan orang
soleh dan takwa.
"Patik sekalian ingin menyatakan rasa dukacita dan
sedih di atas pemergian Paduka Seri yang menjadi lambang perpaduan dan
persaudaraan rakyat Perak Darul Ridzuan," ujarnya.
Sultan Azlan yang mangkat kira-kira jam 1.30 petang tadi
akan dimakamkan di Makam Diraja Al-Ghufran selepas solat Asar, esok. -HD
Hari
mengundi PRK Teluk Intan kekal 31 Mei Sabtu ini - SPR
Tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen
Teluk Intan kekal pada 31 Mei ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
SPR menegaskan demikian dalam satu kenyataan berikutan
kemangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mangkat hari ini.
Bagaimanapun, SPR menggesa semua pihak yang terbabit dalam
PRK Teluk Intan terutama parti-parti politik menghormati kemangkatan Sultan
Perak, dengan menjaga tutur kata dan tingkah laku semasa berkempen.
"Semua pihak disarankan berkempen mengikut kehendak
undang-undang, peraturan dan tataetika pilihan raya tanpa menimbulkan isu-isu
yang sensitif yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana
pihak," kata Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.
Semua bentuk keraian, keramaian dan hiburan dibatalkan di Perak semasa tempoh berkabung.
Pengumuman SPR itu dibuat selepas DAP mengumumkan mereka membatalkan semua sidang media dan ceramah hari ini.
Bagaimanapun tidak diketahui sama ada jadual kempen oleh parti-parti politik akan diteruskan esok.
Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong yang juga calon BN berkata beberapa program malam ini dan esok turut dibatalkan.
No comments:
Post a Comment