Pada saat yang kritikal ini unsur emosi dan sentimen harus diketepikan. Prinsip integriti, setiakawan, keadilan, kebijaksanaan serta hikmah mesti mengambil tempat dalam mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Justeru itu, 'we shouldn't rush in making decision but we should adopt a deliberate cautious approach with wisdom and sincerity'.
Kita bercakap tentang meminta seseorang Menteri Besar meletak jawatan. Kita perlu berhemah dalam hal ini. Apa kesilapannya, apa kemudaratannya, apa kesalahannya, apa kelemahannya dan apa kemaslahatan persekitaran (environment) negeri yang ditadbirnya? Kita perlu menghalusi faktor-faktor ini secara terperinci agar kita sampai kepada keputusan yang adil dan yang baik bagi semua pihak, yakni, negeri, rakyat, Istana dan individu yang terlibat. Keadilan yang menjadi teras perjuangan PR mesti ditegakan.
Berkaitan dengan isu ini dan belajar daripada pengalaman PAS sendiri, saya ingat kembali kes Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menantunya. Apabila saya bersama Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS; Tuan Guru Dato' Dr Haron Din, Timbalan Muryidul Am PAS dan Dr Mohd Hatta Ramli, Bendahari PAS Pusat membawa mandat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkaitan isu perlantikan menantu beliau dalam Perbadanan Menteri Besar Negeri Kelantan (PMBK).
Isu Nepotisma dan intergriti telah bermain di bibir rakyat pada waktu itu. Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak teragak-agak lagi, terus dipanggil menantunya dan diminta menandatangani surat perletakkan jawatan serta-merta! Mengapa Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengambil sikap tersebut? Bagi saya Tuan Guru Nik Abdul Aziz amat faham dengan konsep parti menguasai kerajaan, hidup berjamaah - keputusan jamaah, keputusan parti harus dipatuhi. Seperti kata,’the interest of the many, outweigh the interest of the few’.
Parti yang menguasai kerajaan, bukan kerajaan yang menguasai parti. Ini yang kita harus faham apabila kita memasuki gelanggang politik Malaysia. Tidak ada pemujaan individu dalam parti. Jawatan yang dipegang oleh seseorang di dalam kerajaan adalah disebabkan dicalonkan oleh parti. Jadi bila parti suruh pergi, ikutilah kehendak parti. Saya teringat sejarah Khalid Al Walid, Panglima yang 'dipecat' oleh Khalifah. Pemencatan daripada Khalifah. Mesti ada sebab-sebabnya, mesti ada 'kaulnya' dan mesti sudah dihalusi daripada segenap sudut oleh Umar Al Khatab. Adakah Khalid memberontak? Tidak! Panglima besar ini akur dengan keputusan Khalifah. Inilah hidup berjamaah...
Sebegitu juga kita dalam proses memilih Menteri Besar. Perlu dihalusi bersama, perlu diskusi bersama dan perlu persetujuan bersama. Janganlah ada dikalangan kita mengambil pendekatan ‘pushing down into our throats'! Sekurang-kurangnya ada pilihan, agar yang terbaik diberi berkhidmat kepada rakyat.
Untuk tatapan kita bersama daripada paparan sejarah PAS, isu kronisma, nepotisma dan sikap autokratik adalah faktor yang besar yang menjatuhkan PAS Negeri Kelantan dalam era Tan Sri Datuk Dr Haji Mohd Asri Haji Muda. PAS juga pernah mengalami krisis di Negeri Kedah sebelum Pilihan Raya Umum kali ke – 13 (PRU 13) yang akhirnya kita semua menerima akibatnya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama belajar daripada sejarah ini supaya kita pada hari ini terutama PR tidak mengulangi kesilapan yang sama agar memungkinkan kita hilang lagi sebuah kerajaan.
PAS perihatin di dalam hal ini, bersama PKR & DAP kita berjuang menentang kezaliman, menentang rasuah dan menentang kronisma dan nepotisma. Kita menentang sekeras-kerasnya sehingga kita nobatkan dalam manifesto PR. Kalau tidak rakyat akan melihat kita yakni PR sebagai "harapkan pagar, pagar makan padi!"
Justeru itu, di dalam pencalonan bakal Menteri Besar baru ini harus PR menjauhi persepsi-persepsi negatif tersebut. Biarlah kita mengambil masa untuk mencari yang terbaik demi masa depan PR yang kita sama-sama sayangi.
Kepada rakan-rakan di dalam PKR dan DAP, usah gusar dengan komitmen PAS dalam perjuangan menentang kezaliman, menentang rasuah, menentang, kronisma dan nepotisma. Sejak ditubuhkan, kami berjuang diatas landasan ini, malah bukan sahaja kami diremehkan, difitnahkan, dipenjarakan malah dalam Peristiwa Memali sahabat-sahabat kami dibunuh dengan kejam! Bukan sahaja masa, wang, keringat dan airmata yang kami curahkan, malah darah dan nyawa telah kami korbankan dalam perjuangan menentang kebatilan-kebatilan ini. ‘So, please, don't question our committments, we were there when you were sleeping...’
InsyaALLAH, ‘give us until 17th of August’ untuk membuat keputusan yang adil, berhemah dan berhikmah. Doakan agar PR tetap utuh dan bertambah kuat melalui dugaan-dugaan ini. Doakan agar jiwa dan raga kita, warga PR, sentiasa berkobar untuk memerdekakan negara kita daripada UMNO / Barisan Nasional (BN), amin!
HAJI SALAHUDDIN AYUB
Naib Presiden PAS.
No comments:
Post a Comment