Maksudnya: Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka , umat yang lain? ( Surah Al-An’aam ayat 6).
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Syukur Alhamdulillah, Insya Allah dua hari lagi iaitu pada tanggal 31Ogos , kita akan menyambut hari Kemerdekaan Negara kali ke 57. Satu nikmat yang wajib disyukuri, di isi dan dipertahankan. Khutbah hari ini akan mengajak sidang Jumaat sekelian untuk mengembalikan nilai kemerdekaan Negara ini dengan nilai Islam.
Tuan-tuan sekelian,
Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan dan kemerdekaan. Kemerdekaan sebenar ialah apabila kita sebagai individu mahupun secara bernegara mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna dan apabila syariat Islam dapat dilaksanakan. Islam satu agama yang memerdekakan manusia dari perhambaan kepada sistem-sistem manusia kepada hanya hidup dalam sistem Allah. Memerdekakan manusia daripada syirik kepada hanya mengesakan Allah. Memerdekakan manusia daripada menjadi tawanan hawa nafsu kepada pengabdian kepada Allah SWT.
Sidang hadirin sekelian,
Apabila Negara kita merdeka dan telah mengambil Islam sebagai teras dan diabadikan dalam perkara 3 (1) perlembagaan yang memaktubkan:
“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”
Sepatutnya kita wajib memahami bahawa peruntukan undang-undang ini telah menyediakan tapak asas dan sebagai umat Islam yang menjadi majority penduduk Negara ini sepatutnya sepakat mengambil kesempatan berusaha dan menuntut supaya syariat Islam dan keindahan hidup dalam Islam dapat dilaksanakan di Negara ini demi untuk menikmati kemerdekaan sebenar.
Segala usaha untuk mempertikaikan kedudukan Islam di Negara ini mahupun segala usaha untuk menggalakkan penduduk Negara ini lepas bebas dari hukum hakam agama atas nama perjuangan hak asasi manusia ataupun segala usaha untuk memaksa Negara ini memakai piagam-piagam antarabangsa yang jelas-jelas bertentangan dengan Islam seperti hak untuk murtad mestilah dilihat sebagai langkah yang terkebelakang dan usaha untuk menjerumuskan semula Negara ini dan rakyat nya ke dalam penjajahan baru yang hanya bertukar wajah.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Kemerdekaan Negara yang kita nikmati ini adalah anugerah Allah yang wajib disyukuri dan wajib dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Cemburu dengan usaha-usaha gigih pihak yang tidak suka Islam mewarnai kehidupan individu, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Perjuangan kemerdekaan sebenarnya tidak berakhir dengan mengenyahkan penjajah dari bumi pertiwi. Negara masih belum cukup aman dari bahaya penjajahan. Sementara usaha membangun semula, memulihkan dari kerosakan-kerosakan yang berlanjutan beratus tahun selama era penjajahan belum diselesaikan secara tuntas, kini kita dihadapkan pula dengan jebakan penjajahan bentuk baru : penjajahan budaya, penjajahan ekonomi, dominasi, globalisasi dan fahaman-fahaman yang sekilas seperti membawa kemajuan, namun telah meminggirkan fungsi Allah dalam mengatur kehidupan seperti liberalism, pluralism dan anti syariah.
Kita sebagai umat Islam sudah kehabisan masa untuk terus membazirkan kekuatan-kekuatan yang masih tersisa ini seperti peluang dari sudut peruntukan undang-undang , kekuatan politik yang masih di tangan umat Islam, kekuatan bilangan majority penduduk Negara ini tersedut habis ke dalam silang sengketa perebutan kuasa dan harta. Menang sorak kampong tergadai. Sebaliknya marilah kita seluruh umat Islam bersepakat meletakkan Islam mengatasi kepentingan lain sebagai pengisian utama kemerdekaan Negara agar kemerdekaan Negara benar-benar kemerdekaan yang hakiki iaitu apabila kita dapat menjalankan syariat dan hukum hakam Allah dalam kehidupan kita.
Fahmi Huwaidy mengungkapkan satu fenomena baru yang lebih buruk daripada penjajahan iaitu iaitu perhambaan terselubung. Jika penjajahan lebih berupa perompakan kekayaan sesuatu bangsa tetapi perhambaan pula lebih berupa penguasaan terhadap diri sesuatu golongan. Ia juga dikenali sebagai “berjiwa hamba” tetapi bukan hamba kepada Allah ataupun mempunyai minda tawanan.
Jika zaman dahulu bentuk perhambaan ialah pemerasan tenaga fizikal demi kepentingan tuannya maka perhambaan bentuk baru ini apabila yang diperas adalah otaknya dan pemikirannya.
Maka lahirlah golongan rakyat yang hidup di Negara merdeka tetapi mempunyai jiwa hamba dan mempunyai minda yang masih tertawan. Tandanya ialah rakyat muslim yang tidak merasa Izzah (mulia) dengan Islam. Tidak merasa mulia jika Negara ini dikaitkan dengan Islam bahkan bersungguh-sungguh menyetujui gagasan sekularnya Negara ini. Dia tidak sedar bahawa sekali kita menyetujui gagasan sekularnya Negara ini, selama-lamanya kita tiada punya lagi landasan untuk menuntut syariah dilaksanakan dalam kehidupan.
Bahkan lahir golongan terpelajar peribumi yang terkurung dalam system dan orientasi barat sehingga tidak mampu memerdekakan diri dari sudut pandang , minda dan jiwa falsafah kehidupan barat seperti fahaman sekularisme, liberalism dan pluralism barat. Ibarat mereka ini “sarjana-sarjana” burung kakak tua yang hanya tahu meniru , tidak memiliki keaslian intelektual bahkan merelakan diri untuk dijajah selamanya.
Mari kita merdekakan diri dan mengisi kemerdekaan Negara dengan kembali kepada syariat Islam dan kita mulakan kesepakatan itu mulai sekarang.
Teks asalkhutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com
No comments:
Post a Comment